Sabtu, 20 Disember 2008

Mengembalikan kebebasan penglihatan


MATA dan penglihatan! Secara umumnya, penglihatan banyak dikaitkan dengan kebolehan seseorang manusia melihat atau tidak (buta). Namun, bagaimana pula bagi mereka yang tidak buta tetapi tidak juga begitu ‘celik’ penglihatannya?
Semakin hari semakin ramai penduduk dunia yang mengalami masalah penglihatan, kebanyakannya rabun (jauh atau dekat) dan astigmatisme (masalah lekuk kornea). Ini belum ditambah dengan penyakit tertentu yang menyebabkan kemerosotan atau kehilangan deria penglihatan.
Sebenarnya bukan mudah untuk membayangkan bagaimana kesukaran individu rabun atau dengan astigmatisme melihat dunia. Berada antara mampu dan tidak mampu melihat memberi tekanan besar dalam hidup seseorang, terutamanya jika penglihatan begitu kabur sehingga hanya dapat melihat sesuatu yang bergerak.
Sejak sekian lama, masalah ini dapat dibetulkan dengan menggunakan cermin mata ataupun kanta lekap. Bagaimanapun, ini tetap bermakna individu terbabit terikat dengan penggunaan alat bantuan melihat yang mungkin perlu digunakan sepanjang masa untuk penglihatan yang jelas.
Bayangkan bagaimana keadaannya jika cermin mata atau kanta lekap jatuh atau hilang ketika memandu, berenang mahupun di tempat terpencil. Bagi yang mengalami rabun atau astigmatisme yang teruk, ini tidak jauh bezanya dari tiba-tiba menjadi buta dalam ‘terang’.
Selain itu, terdapat juga mereka yang tidak sesuai memakai atau mengalami kesan alahan terhadap bahan pada kanta atau cermin mata. Untuk itu, terdapat permintaan yang tinggi untuk mengembalikan penglihatan normal, sekurang-kurangnya untuk membolehkan pergerakan harian yang bebas.
* Kembali normal
Tidak kira sama ada untuk bebas dari pergantungan atau penjimatan kos alat bantuan melihat, perubatan, kosmetik mahupun meningkatkan kualiti hidup seharian, pemulihan deria penglihatan kepada tahap normal adalah sesuatu yang amat diperlukan. Perkembangan teknologi sejak 1950-an telah membawa kepada penemuan rawatan laser-assisted in situ keratomileusis (Lasik), yang semakin berkembang setiap tahun.
Berkembang dari penggunaan pisau kepada penggunaan laser, Lasik kini merupakan prosedur pembedahan laser paling popular untuk mengoptimumkan daya penglihatan. Lasik menggunakan laser ke atas lengkungan kornea dan menjadi pilihan kerana tempoh pemulihan yang pantas serta kurang komplikasi dan kesan sampingan berbanding pembedahan refraktif lain.
Prosedur Lasik akan membuat perubahan kekal dengan membuang bahagian tertentu tisu dalaman kornea untuk merawat rabun (jauh atau dekat) dan astigmatisme. Pembentukan semula kornea akan meningkatkan fokus cahaya pada retina yang seterusnya akan mengoptimumkan daya penglihatan.
Sebelum pembentukan semula struktur dalaman kornea dibuat, satu potongan pada lapisan atas kornea (flap) perlu dilakukan dan akan digunakan sebagai ‘pembalut semula jadi’ untuk menutup bahagian tisu tengah kornea selepas pembedahan selesai. Bagaimanapun, penggunaan pisau untuk menghasilkan flap kornea sebelum ini menyebabkan ramai yang khuatir untuk menjalani pembedahan lasik.
Untuk itu, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) baru-baru ini memperkenalkan kemudahan Lasik Premium Tanpa Pisau pertama di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi terkini Laser Femtosecond VisuMax. PCMC juga menjadi pusat perubatan tunggal yang menawarkan teknologi terkini Laser Femtosecond VisuMax yang diperkenalkan Carl Zeiss tahun lalu di rantau ini. Ini berpotensi menarik pelancong perubatan luar mendapatkan rawatan oftalmologi dengan kadar berpatutan di Malaysia.
* Membentuk semula
Pengarah Pusat Mata dan Lasik PCMC, Profesor Dr. Muhaya Mohamad menjelaskan berbanding prosedur Lasik tanpa pisau yang lain, pesakit di PCMC melalui proses pembentukan flap dan pembentukan semula kornea dalam satu langkah sahaja.
“Kaedah Lasik lain memerlukan pesakit dipindahkan dari mesin membuat flap ke mesin laser excimer (untuk pembentukan semula kornea).
“Sistem integrasi untuk pembedahan refraktif laser di PCMC pula hanya memerlukan katil pesakit dipusingkan 180 darjah dari mesin Laser Femtosecond VisuMax ke mesin laser excimer MEL 80 dalam satu langkah,” katanya.
Menurut beliau, teknologi yang digunakan juga tidak memerlukan tekanan sedutan yang tinggi pada mata untuk pembentukan flap kornea berbanding kaedah lama yang menyebabkan pesakit hilang penglihatan sementara akibat tekanan tinggi pada mata.
Tambahnya, selain pesakit tidak perlu bangun dan beralih antara dua mesin terbabit, sistem laser yang digunakan juga selamat dengan pemantauan pergerakan mata. Pancaran laser akan mengikut pergerakan kecil mata dan akan berhenti serta-merta jika berlaku pergerakan besar. Untuk memastikan rawatan paling tepat dan hasil terbaik, suhu bilik bedah turut dikawal antara 18 hingga 24°C dan tahap kelembapan di bawah 50 peratus.
Dr. Muhaya memaklumkan 100 peratus daripada 180 mata yang menjalani Lasik di PCMC mencapai sasaran tahap penglihatan dalam tempoh satu minggu selepas pembedahan dan tanpa sebarang komplikasi.
“Perangkaan semasa menunjukkan lebih 95 peratus pesakit mencapai sekurang-kurangnya tahap penglihatan 20/40 atau lebih baik selepas pembedahan Lasik.
“Tahap tersebut membolehkan mereka memandu secara sah dan cukup baik untuk kebanyakan sukan dan aktiviti lain,” ujarnya.
Jelas beliau, 95 peratus pesakit bebas daripada penggunaan cermin mata atau kanta lekap dan majoritinya dapat menjalani hidup tanpa alat bantuan melihat sepanjang masa.
Beliau menegaskan pemulihan penglihatan bergantung kepada tahap kesilapan refraktif yang dialami sebelum pembedahan dan boleh mencapai penglihatan sempurna 20/20 jika tahap kesilapan refraktif lebih rendah. Pesakit yang mempunyai kesilapan refraktif yang tinggi pula mungkin memerlukan penggunaan cermin mata atau kanta lekap untuk penglihatan terbaik bagi memandu atau membaca.
* Pemulihan
Menurut Dr. Muhaya, pemulihan tahap penglihatan berlaku hampir serta-merta selepas pembedahan selesai sementara pemulihan penuh lapisan flap kornea memerlukan antara satu hingga tiga bulan.
“Kebanyakan pemulihan tahap penglihatan pesakit akan berlaku dalam beberapa hari pertama selepas prosedur Lasik dijalankan.
“Pesakit akan dinasihatkan untuk menjauhi aktiviti air untuk seketika serta mengelakkan hentakan atau menggosok mata selama empat minggu,” jelasnya.
Beliau menyatakan penglihatan sesetengah pesakit mungkin kabur sedikit dalam beberapa hari pertama tetapi ianya akan semakin baik.
Tahap penglihatan juga mungkin berbeza dalam waktu tertentu sepanjang hari, selama beberapa minggu, tetapi kebanyakan pesakit akan mendapat penglihatan jelas dalam tempoh yang singkat. Dengan aplikasi Laser Femtosecond VisuMax yang tepat dan mudah dijangka, sesetengah kes kornea terlalu nipis juga kini mungkin dapat menjalani prosedur Lasik.
Pembetulan yang dilakukan melalui prosedur tersebut juga dikatakan dapat bertahan untuk bertahun-tahun lamanya, walaupun kemerosotan penglihatan masih berterusan dengan peningkatan usia. Ini memberikan pesakit tahap penglihatan normal seperti individu lain yang turut membolehkan mereka menceburi bidang pekerjaan tertentu yang memerlukan tahap penglihatan sempurna.
Bila ditanyakan tahap keyakinan terhadap keselamatan dan manfaat prosedur Lasik, Dr. Muhaya menjelaskan beliau cukup yakin dan telah menjalankan sendiri pembedahan tersebut terhadap anak perempuannya.
“Pembedahan ini bermula dengan pesakit tersenyum dan berakhir, hanya selepas beberapa minit, juga dengan pesakit yang tersenyum gembira,” katanya.

Evolusi sebatang pen


DALAM zaman serba moden, teknologi telah menghasilkan pelbagai alat keperluan manusia yang ditambah baik dari segi kegunaan dan fungsinya.
Ini bagi memastikan pengguna mampu memanfaatkan fungsi tambahan yang diselaraskan pada sesuatu perkakas itu bagi mempermudahkan serta meringkaskan tugasan mahupun proses kehidupan manusia sejagat.
Pelbagai pembaharuan teknologi dalam lingkungan era digital masa kini merancakkan lagi proses penyepaduan digital dijalankan terhadap alat-alat keperluan manusia.
Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang untuk menguji guna sebatang pen digital yang berkemampuan untuk memberikan fungsi tambahan sekali gus dijangka mampu membuat anda teruja dengan perkembangan proses penyepaduan digital hari ini.
Kemunculan Livescribe Pulse Digital Smartpen (Pulse Smartpen) itu secara tidak langsung membantu merevolusikan fungsi penggunaan pen konvensional yang sedia ada hanya digunakan untuk menulis.
Pen Pulse Digital itu merupakan sebatang pen pintar yang mampu merekodkan data bukan sahaja menerusi catatan, malah pada masa sama berkeupayaan untuk merakamkan bunyi audio.
Secara ringkas, pen pintar yang membawa moto jualan, Never Miss A Word itu membolehkan pengguna yang sering mengambil nota untuk membuat catatan dengan lengkap tanpa perlu merisaukan tentang sebarang fakta yang tertinggal.
Ini kerana, Pulse Smartpen yang hadir dengan teknologi pengecaman tulisan (handwriting recognition) itu membenarkan audio yang dirakam untuk diselaraskan dengan catatan nota yang dibuat pada sebuah buku khas yang disediakan.
Ini bermakna, pengguna hanya perlu mencatatkan kata kunci dan fakta yang penting pada helaian kertas yang disediakan semasa kuliah ataupun ketika menemubual seseorang.
Bagaimanapun, segala catatan yang dibuat perlu dilakukan ke dalam buku yang disediakan kerana setiap helaian kertas yang terdapat dalam buku itu didatangkan dengan titik mikro (micro-dot) kecil.
Titik mikro itu berfungsi membantu pen pintar tersebut mengenal pasti tulisan pengguna seterusnya memperdengarkan rakaman berhubung fakta yang dicatatkan secara tepat.
Lebih menarik, ikon seperti butang yang terdapat pada mesin perakam suara boleh didapati pada setiap bahagian bawah helaian kertas yang ada pada buku itu.
Dalam erti kata lain, imej seperti butang main, ulang kembali, henti, rekod dan banyak lagi tertera di bahagian bawah kertas khas itu.
Ini bertujuan bagi membolehkan pengguna mengendalikan rakaman serta memperdengarkan kembali nota yang dicatatkan dengan menyentuh mata pen itu terhadap ikon-ikon yang tertera.
Di samping itu, penulis turut teruja dengan fungsi-fungsi tambahan yang mampu dilakukan oleh pen pintar tersebut seperti keupayaan untuk dijadikan sebagai kalkulator, penterjemah bahasa dan juga piano mini.
Menyentuh aspek teknikal, pen tersebut dipacu menerusi sistem pemproses Samsung ARM 9 dengan kelajuan 32-bit, 150 MHz yang bertindak mengawal sistem operasi pen tersebut.
Selain itu, pada bahagian atas pen tersebut, ia didatangkan dengan pembesar suara yang membenarkan kesan audio dirakamkan dan juga diperdengarkan.
Dalam pada itu, menerusi kamera infra merah yang terbina dalam, Pulse Smartpen nyata mampu mengecam tulisan dengan pintar seterusnya mengenal pasti sama ada ia adalah abjad ataupun nombor yang dituliskan pengguna.
Pengguna pasti terpesona dengan kemudahan kalkulator yang disediakan kerana pengguna hanya perlu menulis angka yang ingin dikira ke atas buku khas, seterusnya mendapatkan jawapannya pada paparan OLED yang terdapat pada bahagian tengah pen itu.
Proses pengiraan pengguna menjadi lebih mudah dan tepat dengan kehadiran platform yang dibangunkan oleh Livescribe itu.
Dari sudut rekaan pula, pen sepanjang 155 milimeter (mm) dan berdiameter 16 mm itu sangat kompak dan didapati sangat mudah untuk dibawa ke mana-mana.
Pen pintar tersebut yang dibina berasaskan kerangka aluminium itu nyata tidak berat dengan hanya seberat 36 gram.
Buat masa ini, pen tersebut didatangkan dengan dua model yang dibezakan menerusi saiz memori yang iaitu 1Gigabait (GB) dan 2GB.
Bagi pen yang mempunyai keluasan ruang simpanan memori 1GB, ia berkeupayaan untuk merakam sehingga 100 jam rakaman, manakala bagi 2GB pula ia mampu menyimpan rakaman audio digital sehingga mencapai 200 jam rakaman.
Kehadiran ruang memori ini juga membolehkan audio disimpan dalam pen tersebut sebelum dipindahkan kepada komputer pengguna menerusi kemudahan sambungan USB disediakan.
Pada masa yang sama, menerusi sambungan USB yang dibuat pada komputer itu, pen tersebut akan dicas secara automatik bagi memastikan pen itu sedia untuk digunakan pada setiap masa.
Kehadiran pen pintar tersebut yang disasarkan bagi para pelajar dan ideal bagi golongan seperti wartawan, peguam, arkitek dan sebagainya, diyakini berupaya untuk membantu mempermudahkan proses mencatatkan nota dengan ringkas, pantas dan efisien.
Kini, pen tersebut yang merupakan produk Livescribe Inc., sudah boleh didapati di pasaran tempatan menerusi pengedar sah iaitu BIG'ant (M) Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milik K-One Technology Bhd.
Orang ramai boleh mendapatkan pen tersebut pada harga yang ditawarkan RM688 bagi 1GB dan RM799 untuk pen berkapasiti 2GB.
Maklumat dan spesifikasi lengkap boleh didapati dengan melayari laman web

Penantian berakhir - Mawi & Ekin


SELEPAS segala ranjau dan duri diharungi, akhirnya impian bergelar suami-isteri terlaksana sudah. Bertempat di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru semalam, Ekin sah menjadi isteri kepada Mawi, penyanyi yang mencipta satu fenomena luar biasa selepas menjuarai Akademi Fantasia Ketiga (AF3) tidak lama dulu.
Mengenakan baju warna putih gading, wajah kedua-
dua mempelai terpancar seri tatkala upacara akad nikah dilangsungkan. Walaupun kelihatan seperti gugup tetapi Mawi dapat melafazkan akad nikahnya dengan lancar.
“Syukur Alhamdulillah, segalanya selesai,” ujar Mawi selepas sah selesai diijabkabulkan. Hari ini, hari pertama mereka bergelar suami-isteri tentu saja hari yang memberi satu suasana baru terhadap kehidupan mereka.
Bukan mudah untuk mereka sampai di tahap ini iaitu perhubungan yang terjalin sehingga ia berakhir di jenjang pelamin. Cakaplah apa saja ujian, semuanya diharungi dengan tabah.
Bukan mudah sebenarnya menjadi Asmawi Ani, 27, kerana tatkala dia ditatang, dalam masa yang sama ada juga insan yang membenci. Begitu juga bagi wanita bernama Nora’ Asikin Rahmat, 29, ini yang tidak lari dari berhadapan dengan tempias apabila dituduh berkahwin dengan Mawi hanya untuk mengambil kesempatan.
Tetapi, sampai bila nak dengar cakap orang. Sampai bila nak termakan kata-kata orang? Akhirnya yang menanggung sengsara mereka berdua juga. Dan kita sebagai peminat, memadailah mendoakan kebahagiaan mereka.
Tatkala majlis santapan bersama keluarga yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru malam tadi kedua-duamua bak puteri dan putera raja.
Sambil mendengar lagu-lagu dendangan penyanyi AF iaitu Haziq dan Akma, suasana malam itu cukup bermakna kerana ia merupakan perkahwinan pertama artis yang dibuat di dalam sebuah stadium.
* Pilihan terbaik
Bercerita soal jodoh, tentu ramai yang mahu menyelak kisah silam kehancuran cinta lama Mawi dengan bekas kekasihnya. Tentu saja yang akan membandingkan itu dan ini.
Pinta kedua-dua pengantin baru ini, cukuplah! Jangan disingkap kisah yang telah berlalu. Percayalah kepada suratan takdir iaitu kita yang merancang tetapi Tuhan itu menentukannya.
Malah akui Mawi sebelum dia membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga, sudah banyak kali dia memohon petunjuk daripada Allah biarpun macam-macam kisah yang tidak manis mengenai isterinya cuba dilemparkan. Tetapi Mawi percaya, petunjuk Tuhan itu adalah lebih baik.
“Saya sudah banyak kali membuat sembahyang istikharah dan jalan yang nampak ialah Ekin. Maka saya mengambil keputusan memilihnya sebagai isteri,” katanya.
Ekin juga menganggap jodoh mereka ini adalah pilihan terbaik. Kerana sebagai seorang isteri, Ekin percaya suaminya itu dapat membimbingnya menjadi isteri yang soleh. Cuma harapan Ekin agar semua peminat terus mendoakan kesejahteraan mereka.
* Tak cukup tidur
Biarpun dari A sehingga Z majlis perkahwinan Mawi dan Ekin ditaja sepenuhnya, tipulah mereka sebagai pengantin tidak merasai penat. Sebagai empunya diri yang bergelar raja sehari, akui mereka kadang-kala bagai nak pengsan apabila di saat-saat akhir banyak persiapan yang masih belum sempurna.
Walaupun banyak perkara yang ditaja tetapi Mawi banyak juga mengeluarkan perbelanjaannya menguruskan perkahwinan ini.
“Penat betul... sampai tak cukup tidur. Ingatkan senang nak kahwin ni tapi susah juga,” kata Mawi.
Tapi tak apa... pengalaman pertama seumur hidup tentu saja akan meninggalkan satu nostalgia terindah kemudian hari nanti.
Kata Mawi, baru satu bab iaitu majlis pihak perempuan selesai tetapi dia masih pening kepala kerana majlis sambut menantu yang akan diadakan di Felda Taib Andak pada 28 Disember nanti belum lagi selesai. Apabila habis majlis itu, tentulah Mawi dan Ekin boleh menarik nafas panjang tanda segalanya terlaksana sudah.
Apa yang pastinya Mawi dan Ekin mahu segala-galanya sempurna. Dan kalau boleh semua orang gembira meraikan perkahwinan mereka itu.
* Laksanakan tanggungjawab
Tatkala sah menjadi suami isteri selepas selesai akad nikah, apa yang terlintas di fikiran mempelai ini untuk menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga. Dan akui Ekin, dia merasakan agak “pelik” dengan suasana baru ini.
Jika sebelum ini dia menguruskan segala-galanya untuk kepentingan diri sendiri tetapi mulai hari ini segala-
galanya perlu dibuat untuk kepentingan kedua mereka.
Bercerita mengenai hari pertama bergelar isteri, kata Ekin langkah pertama yang dia lakukan ialah menyediakan sarapan pagi untuk suami.
Tidaklah sehebat Chef Wan tetapi Ekin mampu tersenyum lebar apabila Mawi tidak merungut menjamah makanan daripada air tangan seorang isteri.
“Syukur Ekin mendapat suami seperti Mawi yang tak banyak kerenah. Dia makan saja apa yang Ekin masak.
“Hari ini Ekin merasakan tanggungjawab Ekin itu semakin bertambah apatah lagi Mawi sendiri mengaku dia memang menyukai masakan isteri,” kata Ekin yang mahir memasak nasi lemak sambal sotong.
Mawi pula apabila menjadi ketua keluarga berhasrat untuk memperoleh sebuah keluarga bahagia yang aman dan sentosa. Malah mereka mahu mahligai yang dibina itu utuh sehingga ke akhir hayat.
Janji Mawi, dia akan menjadi suami yang baik, bertanggungjawab dan boleh bertolak ansur.
“Semua orang yang berkahwin mahu mengharapkan mereka bahagia. Begitu juga saya dan Ekin.
“Sebagai suami, saya akan jalankan tanggungjawab saya sepenuhnya terhadap isteri dan keluarga,” katanya.
* Mahu ramai anak
Maaflah bukan nak menggatal tetapi hakikatnya baru hari pertama bergelar suami, Mawi sudah berangan-angan untuk mendapat bilangan anak yang ramai.
Dek kerana sifatnya sukakan kepada kanak-kanak, harapan Mawi supaya keluarga yang dibina nanti akan lebih bahagia jika dia memperoleh anak yang berderet.
Bukan apa, anak adalah pengikat keharmonian di dalam rumah tangga. Atas tujuan itu, Mawi berserah kepada Allah untuk memberikan rezeki itu.
“Saya tak merancang apa-apa. Lepas kahwin ni kalau nak dapat anak berderet pun tak ada masalah sebab saya memang sukakan budak-budak,” katanya.
* Terbang ke Korea
Bercuti sehingga 1 Februari tahun hadapan, peluang yang ada akan digunakan sepenuhnya Mawi dan Ekin untuk menyemaikan lagi benih kasih mereka. Akan berangkat ke Korea untuk berbulan madu, tentu saja percutian itu nanti akan merapatkan lagi hubungan mereka sebagai suami isteri.
Tidak ada apa-apa nostalgia memilih negara itu sebagai destinasi bahagia mereka tetapi di sana nanti mereka sama-sama akan merancang masa depan masing-masing tanpa ada sebarang gangguan.
Dan harapan mereka, apabila berada di negara itu, mereka akan dapat menilai kelemahan dan kesempurnaan diri masing-
masing untuk meneruskan kehidupan suami-
isteri yang penuh mencabar.
“Dalam perkahwinan ini kita perlu ada komunikasi yang baik di antara satu sama lain. Dan ia amat penting untuk kebahagiaan rumah tangga.
“Insya-Allah, kami akan mengharungi apa juga ujian yang datang dan berdoa supaya Tuhan memberi ketabahan terhadap kami,” kata Mawi.
Tidak mengharapkan apa-apa daripada peminat, pinta Mawi hanyalah satu iaitu titipkan doa untuk mereka agar mahligai yang dibina ini akan kekal sehingga ke akhir hayat.