Sabtu, 20 Disember 2008

Mengembalikan kebebasan penglihatan


MATA dan penglihatan! Secara umumnya, penglihatan banyak dikaitkan dengan kebolehan seseorang manusia melihat atau tidak (buta). Namun, bagaimana pula bagi mereka yang tidak buta tetapi tidak juga begitu ‘celik’ penglihatannya?
Semakin hari semakin ramai penduduk dunia yang mengalami masalah penglihatan, kebanyakannya rabun (jauh atau dekat) dan astigmatisme (masalah lekuk kornea). Ini belum ditambah dengan penyakit tertentu yang menyebabkan kemerosotan atau kehilangan deria penglihatan.
Sebenarnya bukan mudah untuk membayangkan bagaimana kesukaran individu rabun atau dengan astigmatisme melihat dunia. Berada antara mampu dan tidak mampu melihat memberi tekanan besar dalam hidup seseorang, terutamanya jika penglihatan begitu kabur sehingga hanya dapat melihat sesuatu yang bergerak.
Sejak sekian lama, masalah ini dapat dibetulkan dengan menggunakan cermin mata ataupun kanta lekap. Bagaimanapun, ini tetap bermakna individu terbabit terikat dengan penggunaan alat bantuan melihat yang mungkin perlu digunakan sepanjang masa untuk penglihatan yang jelas.
Bayangkan bagaimana keadaannya jika cermin mata atau kanta lekap jatuh atau hilang ketika memandu, berenang mahupun di tempat terpencil. Bagi yang mengalami rabun atau astigmatisme yang teruk, ini tidak jauh bezanya dari tiba-tiba menjadi buta dalam ‘terang’.
Selain itu, terdapat juga mereka yang tidak sesuai memakai atau mengalami kesan alahan terhadap bahan pada kanta atau cermin mata. Untuk itu, terdapat permintaan yang tinggi untuk mengembalikan penglihatan normal, sekurang-kurangnya untuk membolehkan pergerakan harian yang bebas.
* Kembali normal
Tidak kira sama ada untuk bebas dari pergantungan atau penjimatan kos alat bantuan melihat, perubatan, kosmetik mahupun meningkatkan kualiti hidup seharian, pemulihan deria penglihatan kepada tahap normal adalah sesuatu yang amat diperlukan. Perkembangan teknologi sejak 1950-an telah membawa kepada penemuan rawatan laser-assisted in situ keratomileusis (Lasik), yang semakin berkembang setiap tahun.
Berkembang dari penggunaan pisau kepada penggunaan laser, Lasik kini merupakan prosedur pembedahan laser paling popular untuk mengoptimumkan daya penglihatan. Lasik menggunakan laser ke atas lengkungan kornea dan menjadi pilihan kerana tempoh pemulihan yang pantas serta kurang komplikasi dan kesan sampingan berbanding pembedahan refraktif lain.
Prosedur Lasik akan membuat perubahan kekal dengan membuang bahagian tertentu tisu dalaman kornea untuk merawat rabun (jauh atau dekat) dan astigmatisme. Pembentukan semula kornea akan meningkatkan fokus cahaya pada retina yang seterusnya akan mengoptimumkan daya penglihatan.
Sebelum pembentukan semula struktur dalaman kornea dibuat, satu potongan pada lapisan atas kornea (flap) perlu dilakukan dan akan digunakan sebagai ‘pembalut semula jadi’ untuk menutup bahagian tisu tengah kornea selepas pembedahan selesai. Bagaimanapun, penggunaan pisau untuk menghasilkan flap kornea sebelum ini menyebabkan ramai yang khuatir untuk menjalani pembedahan lasik.
Untuk itu, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) baru-baru ini memperkenalkan kemudahan Lasik Premium Tanpa Pisau pertama di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi terkini Laser Femtosecond VisuMax. PCMC juga menjadi pusat perubatan tunggal yang menawarkan teknologi terkini Laser Femtosecond VisuMax yang diperkenalkan Carl Zeiss tahun lalu di rantau ini. Ini berpotensi menarik pelancong perubatan luar mendapatkan rawatan oftalmologi dengan kadar berpatutan di Malaysia.
* Membentuk semula
Pengarah Pusat Mata dan Lasik PCMC, Profesor Dr. Muhaya Mohamad menjelaskan berbanding prosedur Lasik tanpa pisau yang lain, pesakit di PCMC melalui proses pembentukan flap dan pembentukan semula kornea dalam satu langkah sahaja.
“Kaedah Lasik lain memerlukan pesakit dipindahkan dari mesin membuat flap ke mesin laser excimer (untuk pembentukan semula kornea).
“Sistem integrasi untuk pembedahan refraktif laser di PCMC pula hanya memerlukan katil pesakit dipusingkan 180 darjah dari mesin Laser Femtosecond VisuMax ke mesin laser excimer MEL 80 dalam satu langkah,” katanya.
Menurut beliau, teknologi yang digunakan juga tidak memerlukan tekanan sedutan yang tinggi pada mata untuk pembentukan flap kornea berbanding kaedah lama yang menyebabkan pesakit hilang penglihatan sementara akibat tekanan tinggi pada mata.
Tambahnya, selain pesakit tidak perlu bangun dan beralih antara dua mesin terbabit, sistem laser yang digunakan juga selamat dengan pemantauan pergerakan mata. Pancaran laser akan mengikut pergerakan kecil mata dan akan berhenti serta-merta jika berlaku pergerakan besar. Untuk memastikan rawatan paling tepat dan hasil terbaik, suhu bilik bedah turut dikawal antara 18 hingga 24°C dan tahap kelembapan di bawah 50 peratus.
Dr. Muhaya memaklumkan 100 peratus daripada 180 mata yang menjalani Lasik di PCMC mencapai sasaran tahap penglihatan dalam tempoh satu minggu selepas pembedahan dan tanpa sebarang komplikasi.
“Perangkaan semasa menunjukkan lebih 95 peratus pesakit mencapai sekurang-kurangnya tahap penglihatan 20/40 atau lebih baik selepas pembedahan Lasik.
“Tahap tersebut membolehkan mereka memandu secara sah dan cukup baik untuk kebanyakan sukan dan aktiviti lain,” ujarnya.
Jelas beliau, 95 peratus pesakit bebas daripada penggunaan cermin mata atau kanta lekap dan majoritinya dapat menjalani hidup tanpa alat bantuan melihat sepanjang masa.
Beliau menegaskan pemulihan penglihatan bergantung kepada tahap kesilapan refraktif yang dialami sebelum pembedahan dan boleh mencapai penglihatan sempurna 20/20 jika tahap kesilapan refraktif lebih rendah. Pesakit yang mempunyai kesilapan refraktif yang tinggi pula mungkin memerlukan penggunaan cermin mata atau kanta lekap untuk penglihatan terbaik bagi memandu atau membaca.
* Pemulihan
Menurut Dr. Muhaya, pemulihan tahap penglihatan berlaku hampir serta-merta selepas pembedahan selesai sementara pemulihan penuh lapisan flap kornea memerlukan antara satu hingga tiga bulan.
“Kebanyakan pemulihan tahap penglihatan pesakit akan berlaku dalam beberapa hari pertama selepas prosedur Lasik dijalankan.
“Pesakit akan dinasihatkan untuk menjauhi aktiviti air untuk seketika serta mengelakkan hentakan atau menggosok mata selama empat minggu,” jelasnya.
Beliau menyatakan penglihatan sesetengah pesakit mungkin kabur sedikit dalam beberapa hari pertama tetapi ianya akan semakin baik.
Tahap penglihatan juga mungkin berbeza dalam waktu tertentu sepanjang hari, selama beberapa minggu, tetapi kebanyakan pesakit akan mendapat penglihatan jelas dalam tempoh yang singkat. Dengan aplikasi Laser Femtosecond VisuMax yang tepat dan mudah dijangka, sesetengah kes kornea terlalu nipis juga kini mungkin dapat menjalani prosedur Lasik.
Pembetulan yang dilakukan melalui prosedur tersebut juga dikatakan dapat bertahan untuk bertahun-tahun lamanya, walaupun kemerosotan penglihatan masih berterusan dengan peningkatan usia. Ini memberikan pesakit tahap penglihatan normal seperti individu lain yang turut membolehkan mereka menceburi bidang pekerjaan tertentu yang memerlukan tahap penglihatan sempurna.
Bila ditanyakan tahap keyakinan terhadap keselamatan dan manfaat prosedur Lasik, Dr. Muhaya menjelaskan beliau cukup yakin dan telah menjalankan sendiri pembedahan tersebut terhadap anak perempuannya.
“Pembedahan ini bermula dengan pesakit tersenyum dan berakhir, hanya selepas beberapa minit, juga dengan pesakit yang tersenyum gembira,” katanya.

2 ulasan:

  1. Artikel yg bermanfaat. Adakah tuan dari utara? Jika ya, tolong sahkan dgn NOBLE bagi tujuan penyenaraian. tqvm.

    BalasPadam